Harian Metro-Pelaksanaan PAKEJ tingkat sektor kurier negara
17 Jun 2021
Kuala Lumpur: Pelaksanaan Pakej Accelerator Kurier Negara (Pakej) diyakini berupaya meningkatkan sektor perkhidmatan kurier negara agar lebih efisyen dan berdaya saing.
Pengerusi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) Dr Fadhlullah Suhaimi Abdul Malek berkata, beberapa inisiatif sudah dirangka untuk memastikan perkhidmatan kurier ditambah baik dan meningkatkan kepuasan dalam kalangan masyarakat.
Menurutnya, kelewatan dan barangan yang diterima rosak antara aduan yang sering diterima daripada pengguna.
“Peringkat awal pelaksanaan Pakej, ia akan memberi fokus kepada inisiatif Rangkaian Poin Bungkusan (PPN) yang komprehensif dengan lebih banyak Pusat Pungutan dan Serahan (Pudo).
“Jumlah kurier juga meningkat menjadikan perkhidmatan yang lebih efektif dan efisyen diperlukan dalam kalangan pemain industri kurier negara,” katanya dalam Taklimat Media Pakej 2021 secara maya, hari ini.
Beliau berkata, menerusi Pakej juga, Posmen Komuniti antara inisiatif yang membantu melancarkan operasi penghantaran kurier khususnya di pedalaman.
Katanya, seramai 500 Posmen Komuniti kini bertugas untuk kawasan pedalaman di Sabah dan Sarawak.
“Jumlah Posmen Komuniti ini akan ditambah setiap tahun termasuk Pudo yang dijangka dapat ditingkatkan sehingga 30,000 lokasi menjelang 2025.
“Pemain industri juga akan bekerjasama membantu menghantar kurier bagi mengurangkan masa menunggu pelanggan,” katanya.
Beliau berkata, penambahbaikan industri kurier ini memberi impak yang baik kepada pendapatan pemain industri itu sendiri kerana sistem operasi yang lebih cepat dan teratur.
Katanya, sektor perniagaan juga berupaya untuk menjangkaui lebih banyak pengguna dalam sesuatu kawasan yang sebelumnya tidak dapat ditembusi.

